Sabtu, 29 Ogos 2009

Sedekah Di Bulan Ramadhan

Ramadhan merupakan bulan rahmat, bulan keampunan, bulan diturunkan di dalamnya Al-Qur’an, bulan jihad dan bulan dilipatgandakan ganjaran pahala. Oleh kerana keistemewaan yang terdapat pada bulan Ramadhan itu, banyak jenis ibadat yang disyari’atkan yang boleh dilakukan bagi setiap orang untuk meraih ganjaran yang berlipat ganda, sama ada ibadat fardhu ataupun ibadat yang sunat. Antara ibadat sunat yang digalakkan ialah amalan sedekah.

Apa yang dimaksudkan dengan sedekah dari pandangan syara’ ialah pemberian semasa hidup kepada seseorang tanpa ada tukar ganti atas dasar mendekatkan diri kepada Allah.

Berdasarkan pengertian tersebut, bahawa apa juga jenis pemberian berupa mata benda tanpa ada bayaran balik sebagai imbalan atas pemberian tersebut melainkan yang diharapkan adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah, maka itu disebut sebagai sedekah, seperti sedekah wajib, sedekah sunat, wakaf, derma, sumbangan dan sebagainya.

Mengapa kita sebut ‘mata benda’? Kerana ianya akan membezakan antara sedekah dengan pinjaman. Pinjaman ialah pemilikan kepada seseorang sesuatu manfaat akan tetapi mata bendanya tetap menjadi milik orang yang meminjamkan.

Mengapa pula kita sebut ‘atas dasar mendekatkan diri kepada Allah’? Kerana yang demikian itu akan membezakan di antara sedekah dengan hibah dan hadiah. Apabila sesuatu pemberian itu dengan tujuan untuk mengeratkan dan merapatkan hubungan maka itu disebut sebagai hibah. Manakala jika ianya dimaksudkan untuk memuliakan orang yang diberi maka itu dinamakan hadiah. Jelas di sini bahawa titik perbezaan di antara sedekah dengan hibah dan hadiah adalah dari aspek niat atau tujuan sesuatu pemberian.

Namun pada kebiasaannya perkataan sedekah itu di kalangan para ulama fiqh lebih kerap dimaksudkan kepada sedekah sunat. Dalam istilah masyarakat kita selain sedekah ianya juga disebut sebagai derma atau sumbangan. Kedua-dua istilah derma dan sumbangan itu selama mana dimaksudkan oleh pelakunya, yakni yang memberi derma atau sumbangan sebagai amalan untuk merapatkan hubungan dirinya dengan Allah subhanahu wa ta'ala dan mencari keredhaanNya maka yang demikian itu dikategorikan sebagai sedekah. Sementara sedekah wajib ianya lebih dikenali dengan istilah zakat.

Memberi sedekah itu hukumnya sunat. Banyak terdapat dalil-dalil syara’ yang memperuntukkan suruhan dan galakkan bersedekah. Antaranya sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: “Siapakah orangnya yang (mahu) mmberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipatgandakan akan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah) Allah jualah yang menyempit dan meluaskan (pemberian rezeki), dan kepadaNya lah kamu semua dikembalikan.”

(Surah Al-Baqarah, ayat 245)

Firman Allah di dalam ayat yang lain:

Tafsirnya: “Dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan berikanlah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas). Dan (ingatlah) apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah amat Pengampun, lagi amat Mengasihani.”

(Surah Al-Muzzammil, ayat 20)

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga ada menyebutkan mengenai suruhan dan galakkan bersedekah itu, sebagaimana Baginda bersabda yang maksudnya :

Maksudnya: “Mana-mana orang mukmin yang memberi makanan kepada seorang mukmin yang lain kerana kelaparan, maka Allah akan memberi makanan kepadanya pada Hari Kiamat dari buah-buah Syurga. Dan mana-mana orang mukmin yang memberi minuman kepada seorang mukmin yang lain kerana kehausan, maka Allah akan memberi minuman kepadanya pada Hari Kiamat dari khamar Syurga yang termetri bekasnya. Dan mana-mana orang mukmin yang memberi pakaian kepada seorang mukmin yang lain kerana tidak berpakaian, maka Allah akan memberi pakaian kepadanya dari pakaian Syurga yang berwarna hijau.”

(Hadits riwayat At-Tirmizi dan Abu Daud)

Daripada dalil-dalil yang disebutkan dapatlah ditanggapi bahawa suatu pemberian kerana Allah akan dibalas dengan sebaik-baik balasan atau ganjaran daripada Allah subhanahu wa ta'ala, dan sudah tentu balasan itu tidak akan diperolehi kecuali melalui amalan-amalan berkebajikan yang telah dilakukan oleh seseorang hamba, baik amalan tersebut berbentuk sumbangan harta ataupun tenaga. Apabila Allah berjanji untuk membalas amalan kebaikan itu, maka ini menunjukkan betapa amalan tersebut adalah suatu yang dituntut oleh syara’, dan ini termasuklah memberi sedekah.

Sedekah itu boleh dilakukan pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan, kerana di bulan inilah yang lebih dituntut untuk memperbanyakkan sedekah sebagai mengikut sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam adalah orang yang paling pemurah lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan. Ini jelas sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma beliau berkata yang maksudnya :

Maksudnya: “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam merupakan orang yang paling pemurah (dermawan), dan Baginda lebih pemurah pada bulan Ramadhan ketika Jibril bertemu Baginda. Jibril bertemu Baginda shallallahu 'alaihi wasallam pada setiap malam Ramadhan, lalu Baginda membacakan Al-Qur’an. Sungguh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam itu adalah seorang yang lebih pemurah (dermawan) dalam kebaikan daripada angin yang diutus.”

(Hadits riwayat Bukhari, Muslim dan An-Nasa’ie)

Di dalam riwayat yang lain, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah ditanya, sedekah manakah yang lebih afdhal? Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menjawab yang bermaksud:

Maksudnya: “Sedekah di bulan Ramadhan.”

(Hadits riwayat At-Tirmidzi)

Dipetik dari: http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2002/ic45_2002.htm

State Mufti's Office, Prime Minister's Office Brunei Darussalam.

Artikal bertajuk:

SEDEKAH : KUALITI ATAU KUANTITI, MANA YANG LEBIH UTAMA ?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan