Ahad, 23 Ogos 2009

Amalan Yg Sangat Dituntut Di Bulan Ramadhan




TADARUS AL-QUR’AN




Pengenalan

Tadarus Al-Qur’an, pada asasnya bermaksud membaca Al-Qur’an di hadapan seseorang yang dapat mengawasi bacaan itu daripada sebarang kesilapan. Amalan tadarus merupakan salah satu ibadat penting yang diberi tumpuan oleh Rasulullah s.a.w. dalam bulan Ramadhan. Baginda bertadarus Al-Qur’an dengan malaikat Jibril sendiri. Mengikut riwayat Ibnu Abbas r.a.:

Nabi Muhammad s.a.w. merupakan orang yang sangat pemurah dengan kebajikan, dan kemuncak kemurahannya ialah sepanjang bulan Ramadhan. Jibril a.s. menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan sehingga habis bulan itu dan Rasulullah membacakan Al-Qur’an kepadanya. Sesungguhnya Rasulullah adalah amat pemurah umpama angin yang bertiup kencang

(Riwayat: Al-Bukhari dan Muslim).


Tadarus Di kalangan Orang-Orang Soleh

Amalan tadarus Al-Qur’an Rasulullah itu, telah menjadi ikutan dan dihayati oleh para sahabat dan orang-orang soleh dari dahulu hingga kini. Mereka bertadarus Al-Qur’an sehingga tamat beberapa kali sepanjang bulan Ramadhan. Ada yang mengkhataminya seminggu sekali, tiga hari sekali, sekali setiap malam atau lain-lain tempoh mengikut kesungguhan serta keupayaan masing-masing.

Imam Asy-Syaaf’i umpamanya dilaporkan dua kali tamat dalam sehari di bulan Ramadhan. Qatadah pula mengkhataminya setiap tiga malam sebelum sepuluh terakhir Ramadhan. Manakala dalam tempoh sepuluh terakhir beliau mengkhataminya setiap malam. Selain itu, ulama terdahulu telah menangguhkan majlis-majlis ilmu mereka di bulan Ramadhan bagi memberi lebih tumpuan terhadap Al-Qur’an.

Imam Az-Zuhri misalnya apabila tiba bulan yang berkat ini, beliau menangguhkan sebarang majlis ilmu, bagi menghayati tilawah dan mendalami Al-Qur’an. Beliau membacanya pada mashaf.

Demikian juga Imam Malik r.a. beliau meninggalkan buat sementara waktu sebarang aktiviti pengajian hadis dan fekah bagi mentadabbur Al-Qur’an. Sehubungan ini beliau pernah menyatakan: "ini ialah bulan Al-Qur’an."


Cara Tadarus

Tiada cara yang seragam atau tertentu dalam aktiviti tadarus Al-Qur’an. Bagaimanapun antara langkah-langkah yang boleh diikuti ialah:

1. Membaca Al-Qur’an secara bergilir-gilir dalam suatu kumpulan kecil..

2. Membaca mengikut tertib surah dan ayat, sebagaimana dalam mashaf

3. Menyemak bacaan agar selamat daripada kesalahan tajwid dan sebagainya.

4. Baca dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah bukan untuk segera khatam.

5. Aktiviti ini boleh dihidupkan di tempat-tempat yang sesuai terutama di masjid, surau atau di rumah sebaik-baiknya bersama keluarga.


Adab Membaca Al-Qur’an

Antara perkara-perkara utama dalam adab membaca Al-Qur’an:

1. Suci daripada hadas besar dan kecil.

2. Duduk dengan sopan dan mengadap kiblat.

3. Membaca secara tartil.

4. Membaca dengan melihat mashaf lebih afdhal.

Kelebihan Tadarus

Tadarus Al-Qur’an mempunyai banyak kelebihan. Antaranya, sabda Rasulullah s.a.w.

bermaksud:

Tidak berkumpul suatu kaum pada mana-mana rumah Allah, mereka membaca dan bertadarus Al-Qur’an, melainkan diturunkan kepada mereka ketenangan (sakinah), diliputi rahmat, dikelilingi malaikat dan Allah menyebut mereka pada para malaikat”. (Riwayat: Abu Daud).


Artikal dipetik dari:

http://komuniti.yit.gov.my/index.php

( Yayasan Islam Terengganu, Bahagian Dakwah, Unit Penyelidikan & Penerbitan)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan