Sabtu, 29 Ogos 2009

Sedekah Di Bulan Ramadhan

Ramadhan merupakan bulan rahmat, bulan keampunan, bulan diturunkan di dalamnya Al-Qur’an, bulan jihad dan bulan dilipatgandakan ganjaran pahala. Oleh kerana keistemewaan yang terdapat pada bulan Ramadhan itu, banyak jenis ibadat yang disyari’atkan yang boleh dilakukan bagi setiap orang untuk meraih ganjaran yang berlipat ganda, sama ada ibadat fardhu ataupun ibadat yang sunat. Antara ibadat sunat yang digalakkan ialah amalan sedekah.

Apa yang dimaksudkan dengan sedekah dari pandangan syara’ ialah pemberian semasa hidup kepada seseorang tanpa ada tukar ganti atas dasar mendekatkan diri kepada Allah.

Berdasarkan pengertian tersebut, bahawa apa juga jenis pemberian berupa mata benda tanpa ada bayaran balik sebagai imbalan atas pemberian tersebut melainkan yang diharapkan adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah, maka itu disebut sebagai sedekah, seperti sedekah wajib, sedekah sunat, wakaf, derma, sumbangan dan sebagainya.

Mengapa kita sebut ‘mata benda’? Kerana ianya akan membezakan antara sedekah dengan pinjaman. Pinjaman ialah pemilikan kepada seseorang sesuatu manfaat akan tetapi mata bendanya tetap menjadi milik orang yang meminjamkan.

Mengapa pula kita sebut ‘atas dasar mendekatkan diri kepada Allah’? Kerana yang demikian itu akan membezakan di antara sedekah dengan hibah dan hadiah. Apabila sesuatu pemberian itu dengan tujuan untuk mengeratkan dan merapatkan hubungan maka itu disebut sebagai hibah. Manakala jika ianya dimaksudkan untuk memuliakan orang yang diberi maka itu dinamakan hadiah. Jelas di sini bahawa titik perbezaan di antara sedekah dengan hibah dan hadiah adalah dari aspek niat atau tujuan sesuatu pemberian.

Namun pada kebiasaannya perkataan sedekah itu di kalangan para ulama fiqh lebih kerap dimaksudkan kepada sedekah sunat. Dalam istilah masyarakat kita selain sedekah ianya juga disebut sebagai derma atau sumbangan. Kedua-dua istilah derma dan sumbangan itu selama mana dimaksudkan oleh pelakunya, yakni yang memberi derma atau sumbangan sebagai amalan untuk merapatkan hubungan dirinya dengan Allah subhanahu wa ta'ala dan mencari keredhaanNya maka yang demikian itu dikategorikan sebagai sedekah. Sementara sedekah wajib ianya lebih dikenali dengan istilah zakat.

Memberi sedekah itu hukumnya sunat. Banyak terdapat dalil-dalil syara’ yang memperuntukkan suruhan dan galakkan bersedekah. Antaranya sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: “Siapakah orangnya yang (mahu) mmberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipatgandakan akan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah) Allah jualah yang menyempit dan meluaskan (pemberian rezeki), dan kepadaNya lah kamu semua dikembalikan.”

(Surah Al-Baqarah, ayat 245)

Firman Allah di dalam ayat yang lain:

Tafsirnya: “Dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan berikanlah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas). Dan (ingatlah) apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah amat Pengampun, lagi amat Mengasihani.”

(Surah Al-Muzzammil, ayat 20)

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga ada menyebutkan mengenai suruhan dan galakkan bersedekah itu, sebagaimana Baginda bersabda yang maksudnya :

Maksudnya: “Mana-mana orang mukmin yang memberi makanan kepada seorang mukmin yang lain kerana kelaparan, maka Allah akan memberi makanan kepadanya pada Hari Kiamat dari buah-buah Syurga. Dan mana-mana orang mukmin yang memberi minuman kepada seorang mukmin yang lain kerana kehausan, maka Allah akan memberi minuman kepadanya pada Hari Kiamat dari khamar Syurga yang termetri bekasnya. Dan mana-mana orang mukmin yang memberi pakaian kepada seorang mukmin yang lain kerana tidak berpakaian, maka Allah akan memberi pakaian kepadanya dari pakaian Syurga yang berwarna hijau.”

(Hadits riwayat At-Tirmizi dan Abu Daud)

Daripada dalil-dalil yang disebutkan dapatlah ditanggapi bahawa suatu pemberian kerana Allah akan dibalas dengan sebaik-baik balasan atau ganjaran daripada Allah subhanahu wa ta'ala, dan sudah tentu balasan itu tidak akan diperolehi kecuali melalui amalan-amalan berkebajikan yang telah dilakukan oleh seseorang hamba, baik amalan tersebut berbentuk sumbangan harta ataupun tenaga. Apabila Allah berjanji untuk membalas amalan kebaikan itu, maka ini menunjukkan betapa amalan tersebut adalah suatu yang dituntut oleh syara’, dan ini termasuklah memberi sedekah.

Sedekah itu boleh dilakukan pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan, kerana di bulan inilah yang lebih dituntut untuk memperbanyakkan sedekah sebagai mengikut sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam adalah orang yang paling pemurah lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan. Ini jelas sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma beliau berkata yang maksudnya :

Maksudnya: “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam merupakan orang yang paling pemurah (dermawan), dan Baginda lebih pemurah pada bulan Ramadhan ketika Jibril bertemu Baginda. Jibril bertemu Baginda shallallahu 'alaihi wasallam pada setiap malam Ramadhan, lalu Baginda membacakan Al-Qur’an. Sungguh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam itu adalah seorang yang lebih pemurah (dermawan) dalam kebaikan daripada angin yang diutus.”

(Hadits riwayat Bukhari, Muslim dan An-Nasa’ie)

Di dalam riwayat yang lain, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah ditanya, sedekah manakah yang lebih afdhal? Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menjawab yang bermaksud:

Maksudnya: “Sedekah di bulan Ramadhan.”

(Hadits riwayat At-Tirmidzi)

Dipetik dari: http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2002/ic45_2002.htm

State Mufti's Office, Prime Minister's Office Brunei Darussalam.

Artikal bertajuk:

SEDEKAH : KUALITI ATAU KUANTITI, MANA YANG LEBIH UTAMA ?

Jumaat, 28 Ogos 2009

Majlis Khatam Al-Quran Persatuan Al-Eittihad

Salam ahli-ahli Al-Eittihad, Persatuan Al-Eittihad akan mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bersempena bulan Ramadhan ini pada:

Hari: Isnin
Tarikh: 7 September 2009
Pukul: 4.30 petang
Tempat: Surau Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA)

Pakaian: Cara melayu bebas atau bergamis

Diharap semua ahli dapat hadir ke majlis yg berkat ini semoga persatuan kitani akan mendapat rahmat dari Allah...Amin

Jemputan Khatam Al-Quran

Salam ahli-ahli Al-Eittihad, tani ada jemputan khatam Al-Quran pada

Hari: Jumaat
Tarikh: 11 Septembar 2009
Tempat: Tanjong Bunut
Tempat berkumpul: Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong
Solat Asar berjemaah di masjid tersebut.
Pakaian: Cara melayu hitam lengkap.

Please confirm kan either kamu dapat datang or inda arah c Nasrul aka c Miki. Sekian harap maklum dan terima kasih.

Rabu, 26 Ogos 2009

Ahad, 23 Ogos 2009

Amalan Yg Sangat Dituntut Di Bulan Ramadhan




TADARUS AL-QUR’AN




Pengenalan

Tadarus Al-Qur’an, pada asasnya bermaksud membaca Al-Qur’an di hadapan seseorang yang dapat mengawasi bacaan itu daripada sebarang kesilapan. Amalan tadarus merupakan salah satu ibadat penting yang diberi tumpuan oleh Rasulullah s.a.w. dalam bulan Ramadhan. Baginda bertadarus Al-Qur’an dengan malaikat Jibril sendiri. Mengikut riwayat Ibnu Abbas r.a.:

Nabi Muhammad s.a.w. merupakan orang yang sangat pemurah dengan kebajikan, dan kemuncak kemurahannya ialah sepanjang bulan Ramadhan. Jibril a.s. menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan sehingga habis bulan itu dan Rasulullah membacakan Al-Qur’an kepadanya. Sesungguhnya Rasulullah adalah amat pemurah umpama angin yang bertiup kencang

(Riwayat: Al-Bukhari dan Muslim).


Tadarus Di kalangan Orang-Orang Soleh

Amalan tadarus Al-Qur’an Rasulullah itu, telah menjadi ikutan dan dihayati oleh para sahabat dan orang-orang soleh dari dahulu hingga kini. Mereka bertadarus Al-Qur’an sehingga tamat beberapa kali sepanjang bulan Ramadhan. Ada yang mengkhataminya seminggu sekali, tiga hari sekali, sekali setiap malam atau lain-lain tempoh mengikut kesungguhan serta keupayaan masing-masing.

Imam Asy-Syaaf’i umpamanya dilaporkan dua kali tamat dalam sehari di bulan Ramadhan. Qatadah pula mengkhataminya setiap tiga malam sebelum sepuluh terakhir Ramadhan. Manakala dalam tempoh sepuluh terakhir beliau mengkhataminya setiap malam. Selain itu, ulama terdahulu telah menangguhkan majlis-majlis ilmu mereka di bulan Ramadhan bagi memberi lebih tumpuan terhadap Al-Qur’an.

Imam Az-Zuhri misalnya apabila tiba bulan yang berkat ini, beliau menangguhkan sebarang majlis ilmu, bagi menghayati tilawah dan mendalami Al-Qur’an. Beliau membacanya pada mashaf.

Demikian juga Imam Malik r.a. beliau meninggalkan buat sementara waktu sebarang aktiviti pengajian hadis dan fekah bagi mentadabbur Al-Qur’an. Sehubungan ini beliau pernah menyatakan: "ini ialah bulan Al-Qur’an."


Cara Tadarus

Tiada cara yang seragam atau tertentu dalam aktiviti tadarus Al-Qur’an. Bagaimanapun antara langkah-langkah yang boleh diikuti ialah:

1. Membaca Al-Qur’an secara bergilir-gilir dalam suatu kumpulan kecil..

2. Membaca mengikut tertib surah dan ayat, sebagaimana dalam mashaf

3. Menyemak bacaan agar selamat daripada kesalahan tajwid dan sebagainya.

4. Baca dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah bukan untuk segera khatam.

5. Aktiviti ini boleh dihidupkan di tempat-tempat yang sesuai terutama di masjid, surau atau di rumah sebaik-baiknya bersama keluarga.


Adab Membaca Al-Qur’an

Antara perkara-perkara utama dalam adab membaca Al-Qur’an:

1. Suci daripada hadas besar dan kecil.

2. Duduk dengan sopan dan mengadap kiblat.

3. Membaca secara tartil.

4. Membaca dengan melihat mashaf lebih afdhal.

Kelebihan Tadarus

Tadarus Al-Qur’an mempunyai banyak kelebihan. Antaranya, sabda Rasulullah s.a.w.

bermaksud:

Tidak berkumpul suatu kaum pada mana-mana rumah Allah, mereka membaca dan bertadarus Al-Qur’an, melainkan diturunkan kepada mereka ketenangan (sakinah), diliputi rahmat, dikelilingi malaikat dan Allah menyebut mereka pada para malaikat”. (Riwayat: Abu Daud).


Artikal dipetik dari:

http://komuniti.yit.gov.my/index.php

( Yayasan Islam Terengganu, Bahagian Dakwah, Unit Penyelidikan & Penerbitan)

Doa sebelum berbuka puasa....


Maksudnya: " Ya Allah bagi Engkau aku berpuasa dan dengan Engkau aku beriman, dengan rezeki Engkau aku berbuka dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang"

Jumaat, 21 Ogos 2009

Somebody is leaving because Ramadhan is coming

I found this picture at rano's website. Gambar ini hanyalah hiburan semata2...hehehe



Taken from: http://www.ranoadidas.com/

TO AL EITTIHAD IANS




Khamis, 20 Ogos 2009

Hadith Ganjaran Tarawih Pada Malam-Malam Tertentu Adalah HADIS PALSU

Setiap tahun apabila menjelangnya Ramadhan, maka sebuah hadis yang amat popular tentang Fadzilat Solat Tarawih kembali tersebar dengan luasnya. Hadis tersebut ialah satu hadis yang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagiannya adalah seperti berikut:

"Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda (berkenaan dengan fadzilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan) antaranya:

Malam Pertama:

Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan.

Malam Keempat:

Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

Sehinggalah ke malam yang ke-30...

Ulama' hadis dengan kaedah dan disiplin ilmu yang sahih telah memutuskan bahawa ianya bukanlah hadis. Atau disebut sebagai HADIS PALSU. Penyebaran hadis ini seharusnya telah lama dihentikan kerana saban tahun peringatan tentang kedustaannya telah dilakukan. Antara yang mengeluarkan kenyataan tentang kepalsuannya adalah Institut al-Qur'an dan al-Sunnah, Kelantan. Ianya juga didapati di dalam laman web Mufti Negeri Terengganu.

Antara disiplin ilmu di dalam memahami hadis ialah; ianya melalui jalan dirayah dan riwayah bagi memastikan kedudukan sesuatu hadis terhadap matan (ayat hadis) dan sanad (rangkaian periwayatan hadis). Kedua-dua perkara ini dipastikan ketulinannya dan tidak harus mempunyai syaz (pelik) dan illat (cacat).
Hadis-hadis telah dikumpulkan, disaring dan diriwayatkan dengan sempurna oleh ulama' hadis pada sekitar tahun 200H-300H. Antara muhaddithin (ulama' hadis) yang diiktiraf dari kalangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah di dalam meriwayatkan hadis antaranya adalah Imam Bukhari (194H-256H), Imam Muslim (204H-261H), Imam Abu Dawud (202H-275H), Imam at-Termizi (209H-279H), Imam an-Nasa-i (215H-293H) dan Imam Ibnu-Majah (207H-273H).

Selain hadis-hadis sahih, terdapat juga hadis-hadis hasan, dhaif ataupun palsu di dalam kitab-kitab mereka. Namun, ini tidak merendahkan kedudukan ilmu mereka. Pengkelasan ini dibuat oleh ulama' yang kemudian dengan kaedah yang sangat detail. Antaranya ulama' hadis mengkritik kepada sanad iaitu perawi-perawi hadis. Mereka telah mengenal pasti siapakah yang dipercayai dan siapakah yang dusta. Nama-nama periwayat hadis dikumpulkan atau ianya di dalam cabang ilmu yang dinamakan dengan ilmu rijal atau ilmu jarh wa-al Ta'dil. Keseluruhan kaedah memahami hadis ini adalah terangkum di dalam ilmu Mustalah Hadis atau 'Ulum Hadis.

Antara ulama' kemudian yang bertanggungjawab untuk mengklasifikasi dan menafsirkan hadis adalah seperti al-Hakim al-Nisaburi, Ibn-Kaithir, Abd Rahim al-Iraqi, Ibn-Hajar al-Asqolani, adz-Zahabi, Taqiyyudin at-Taimiyyah, Ibn-Qayyim al-Jauziyyah, Ibnu-Jauzi, Nasaruddin al-Albani dan ramai lagi.

Hadis-hadis yang benar dan palsu diasingkan. Subhanallah, Allah telah menganugerahkan ilmu yang begitu hebat kepada mereka di dalam mengawal dan memastikan ketulinan rujukan umat dari al-Qur'an dan al-Hadith.

Berbalik kepada hadis fadzilat solat sunat Tarawih. Ianya tidak didapati di dalam mana2 kitab hadis yang benar dan juga di dalam kitab2 hadis yang palsu. Ini bermakna ianya baru sahaja direka oleh golongan yang melampau. Segala pertimbangan di dalam menilai kepalsuan sesuatu hadis telah cukup bagi membuktikan bahawa hadis ini adalah hadis palsu. Antaranya; pada sanad, tidak langsung mempunyai rangkaian periwayatan. Pada matan, ternyata mempunyai syaz (pelik) dan illat (cacat). Dipercayai hadis ini direka oleh golongan Syiah bagi mengangkat ketokohan Sayyidina Ali dan bagi melekakan umat Islam di dalam mengharapkan balasan yang tidak dijanjikan oleh Allah dan Nabi-Nya Muhammad saw. Kita tidak menafikan ketokohan Saiyidina Ali dan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu di dalam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Penyebaran hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama terdahulu.

Di dalam beramal di bulan Ramadan ini dan untuk mengharapkan ganjaran dari Allah SWT, cukuplah bagi kita dengan hadis yang SAHIH dari Rasulullah saw berkenaan menghidupkan malam Ramadhan yang bermaksud (terjemahan): “Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah, maka diampunkan dosa-dosanya yang lalu”. (Al-Bukhari) Ada yang menganggap mengingatkat umat Islam tentang kepalsuan sesuatu hadis adalah perkara yang remeh dan tidak perlu diperbesarkan. Sedangkan mereka lupa kepada janji Rasulullah saw akan balasan neraka terhadap pendusta hadis dan amaran ini didapati hampir di dalam semua kitab-kitab utama hadis.

Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang maksudnya (terjemahan): “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” (Bukhari, Muslim) Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai ke peringkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Bukan sahaja membuat hadith palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ianya adalah hadis palsu juga adalah sesuatu yang haram. Kata al-Imam Ibn al-Salah : “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ianya hadis palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya” (Ibn al-Salah,`Ulum al-Hadith)

Kita memohon kepada Allah agar kita bukanlah dari kalangan yang sengaja menyebarkan hadis-hadis palsu dan memohon keampunan di atas segala kesilapan yang kita sedari atau tidak selama ini. Semoga Ramadhan tahun ini tidak dibaluti dengan pendustaan di atas nama Rasulullah saw.
[Tambahan dari: Mashoorias-salafi]

Fatawa: Fadhilat Sembahyang Tarawih

Soalan: Unit Kajian Dan Penyelidikan, Bahagian Kajian Dan Penerbitan, Pusat Da'wah Islamiah sedang menjalankan kajian mengenai dengan hadis fadhilat sembahyang Tarawih, kitab Durrah AI-Nashihin (terbitan Mesir tahun 1949), diriwayatkan oleh Ali bin Abu Thalib.

Hadis tersebut sangat popular di kalangan masyarakat di negara ini kerana sejak 10 tahun yang lalu penerbitan-penerbitan buku (risalah) mengenai hadis tersebut telah dijalankan dan hadis-hadis berkenaan juga disiarkan melalui Radio Televisyen Brunei dalam bentuk promo bagi maksud mentarghib masyarakat supaya mendirikan sembahyang Tarawih dengan teratur. Sepanjang tempoh tersebut, kita ini tidak pernah mempersoalkan tentang sanad atau sumber hadis tersebut. Bagaimanapun, Berita Harian (Malaysia) keluaran 31hb. Disember, 1998, Ihb. Januari, 1999 dan 16hb. Januari, 1999 telah mempersoalkan keshahihan hadis tersebut sehingga sampai kepada kesimpulan bahawa hadis tersebut adalah hadis maudhu'.

Sukacita abis kaola menghadapkan isu mengenai hadis ini kepada Pehin bagi mendapatkan fatwa dan ketentuan tentang kedudukan hadis-hadis berkenaan untuk dijadikan pegangan dan menghindari keraguan di kalangan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.

Jawapan: Hadis mengenai fadhilat sembahyang Tarawih yang disebutkan dalam kitab Durrah Al-Nashihin bermaksud: “Daripada Ali Bin Abu Talib Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu alaihi Wasllam telah ditanya tentang keutamaan-keutamaan Tarawih di bulan Ramadhan.

Baginda bersabda:

“Orang mukmin keluar daripada dosanya pada:

Malam pertama:

Seperti saat dia dilahirkan ibunya

Malam kedua:

Dia diampuni, juga kedua orang tuanya, jika keduanya mukmin.

Malam ketiga:

Malaikat berseru dari bawah ‘Arasy. Mulailah beramal, semoga Allah mengampuni dosamu yang telah lalu.”

Malam keempat:
Dia memperolehi pahala seperti pahala membaca Taurat, Injil, Zabur dan Al-Furqan.

Malam kelima:

Allah Ta’ala memberinya pahala seperti pahala orang yang sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.

Malam keenam:

Allah Ta’ala memberinya pahala orang yang bertawaf di Makmur dan dipohonkan ampun oleh setiap batu dan cadas (lapisan tanah yang keras)

Malam ketujuh:

Seolah-olah dia mencapai darjat Nabi Musa ‘Alaihi salam dan kemenangannya atas Firaun dan Haman.

Malam kelapan:

Allah Ta’ala memberinya apa yang pernah Dia berikan kepada Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam

Malam kesembilan:

Seolah-olah dia menyembah Allah Ta’ala sebagaimana ibadat Nabi Shallallahu alaihi wasalam

Malam kesepuluh:

Allah Ta’ala mengurniakan kepada nya kebaikan dunia dan akhirat.
Malam kesebelas:

Dia keluar dari dunia seperti saat dia dilahirkan dari perut ibunya.
Malam kedua belas:

Dia datang pada Hari Kiamat sedang wajahnya bagaikan bulan di malam purnama.
Malam ketiga belas:

Dia datang pada Hari Kiamat dalam keadaan aman daripada setiap keburukan Malam keempat belas:

Para malaikat datang seraya memberi kesaksian untuknya, bahawa dia telah melakukan sembahyang Tarawih, maka Allah tidak menghisabnya pada hari Kiamat.
Malam kelima belas:

Dia didoakan oleh para malaikat dan para penanggung ‘Arasy dan Kursi
Malam keenam belas:

Allah menetapkan baginya kebebasan untuk selamat dari neraka dan kebebasan masuk ke dalam syurga

Malam ketujuh belas:

Dia diberi pahala seperti pahala para nabi.

Malam kelapan belas:

Malaikat menyeru: “Wahai Hamba Allah, sesungguhnya allah redha kepadamu dan kepada ibu bapamu.

”Malam kesembilan belas:
Allah mengangkat darjat-darjatnya dalam syurga Firdaus.

Malam kedua puluh:

Allah memberi pahala para syuhada’ dan shalihin.

Malam kedua puluh satu:

Allah membangun untuknya sebuah gedung daripada cahaya

Malam kedua puluh dua:
Dia datang pada hari Kiamat dalam keadaan aman daripada setiap kesedihan dan kesusahan.

Malam kedua puluh tiga:

Allah membangun untuknya sebuah kota dalam syurga

Malam kedua puluh empat:

Dia memperolehi dua puluh empat doa yang dikabulkan

Malam kedua puluh lima:

Allah Ta’ala menghapuskan daripadanya azab kubur

Malam kedua puluh enam:

Allah mengangkat pahalanya selama empat puluh tahun.

Malam kedua puluh tujuh:

Dia dapat melewati Shirath pada Hari Kiamat, bagaikan kilat yang menyambar.

Malam kedua puluh lapan:
Allah mengangkat baginya seribu darjat dalam syurga

Malam kedua puluh sembilan:
Allah memberi pahala seribu haji yang diterima.

Malam ketiga puluh:

Allah berfirman: “Hai Hambakan makanlah buah-buahan syurga, mandilah daripada air Salsabila dan minumlah dari Kauthar. Akulah Tuhanmu, dan engkau hambaKu.” (Majlis) Setelah merujuk kepada kitab-kitab hadis yang muktabar di kalangan ahli Sunnah Wal Jama’ah, termasuk kitab-kitab yang menjadi sandaran dalam pencarian hadis-hadis, sehingga setakat ini tidak dijumpai hadis-hadis yang khusus menyebutkan tentang kelebihan sembahyang Tarawih dengan menyatakan ganjaran yang diperolehi pada setiap malam Ramadhan sepertimana yang dinyatakan.

Apa yang telah ditemui setakat ini, hanyalah riwayat-riwayat yang hampir sama dengannya dan dihubungkan sanadnya kepada sayyidina Ali Bin Abu Talib iaitu tersebut dalamkitab Bihar Al-Majlisi, salah Ramadhan dan kirab Was’a’il Al- Syi’ah karangan Al-Shiekh Muhammad bin Al-Hasan Al-Har Al-‘Amili dalam bab Istihab Al-Shalah Al-Mukhshushah Kulla Lailah min Syahr Ramadhan wa Awwal Yaum Minh.

Maka sehubungan itu, oleh kerana hadis yang ditanyakan itu tidak diketahui sumbernya yang boleh ditanyakan itu tidak diketahui sumbernya yang boleh dii’timad, maka ia mestilah dihentikan daripada dipromokan melalui radio ataupun televisyen. Sekiranya Pusat Da’wah Islamiah ingin menggalakkan orang ramai supaya rajin dan bersungguh-sungguh mengerjakan sembahyang Tarawih, adalah lebih baik hadis-hadis yang dipromokan itu diambil daripada kitab-kitab yang muktabar. Fadhilat sembahyang Tarawih yang ada disebut dalam hadis-hadis yang terkandung dalam kitab-kitab sunan yang muktabar hanyalah secara umum sahaja tanpa menyebut fadhilat 30 malam Ramadhan itu.

Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan daripada abu Hurairah Radhiallahu a’nhu, sabda Rasullullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sesiapa yang mendirikan sembahyang di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharapkan (pahala daripada Allah), diampunkan baginya dosa-dosanya yang terdahulu.”Hadis seumpama ini turut diriwayatkan oleh Muslim, Tirmidzi, abu daud, Imam Ahmad dan lainnya…

Negara asal:
Brunei darussalam

Negeri:
Brunei

Badan yang mengisu fatwa:
Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam

Penulis/Ulama:
Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned

Tarikh Diisu:
1999